Sunday, December 27, 2009

Mahu Berhenti Merokok?

Terapi henti merokok

WABAK tembakau? Akan adakah wabak atau epidemik tembakau? Ya, ada dan sedang ‘merebak’. Lihat di keliling anda, ada saja orang diserang kanser paru-paru, tercungap-cungap bernafas akibat penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), bronkitis serta penyakit jantung yang disahkan ada kaitan rapat dengan merokok.


Lebih 90 peratus kes kanser paru-paru pada lelaki dan 80 peratus pada perempuan disebabkan rokok. Di Amerika Syarikat, ia adalah kanser utama penyebab kematian, melebihi jumlah keseluruhan kematian akibat kanser payudara, prostat dan usus; dan sedihnya perkara sama juga berlaku di negara kita.

Kajian menunjukkan penyakit jantung yang dikaitkan dengan merokok meragut lebih 600,000 nyawa setiap tahun di negara maju. Merokok menyebabkan jantung berdegup cepat yang boleh menaikkan tekanan darah. Ini meningkatkan risiko penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi), strok dan serangan jantung.

Setiap tahun dianggarkan 5.4 juta kematian akibat rokok dicatatkan — jauh lebih tinggi berbanding kematian tibi, malaria, kemalangan, penyalahgunaan dadah dan pembunuhan. Jumlah ini dijangka meningkat kepada lapan juta setahun menjelang 2030 jika tiada langkah pencegahan dilakukan.

Di Malaysia, pada 2006 saja, 12,534 daripada 31,186 kes yang dirujuk ke unit kecemasan dikenalpasti ada sindrom koronari akut yang disebabkan tabiat merokok. Fakta yang disebut di atas bukan baru. Semua orang dan perokok tahu mengenainya. Namun sebagai peringatan bersama (kerana lumrah manusia, kita cepat lupa)

Walaupun kebanyakan perokok mungkin bersikap tidak peduli dengan segala amaran dan penyakit yang mungkin menimpa mereka, ramai yang diam-diam mencuba pelbagai cara untuk berhenti tetapi masih tidak berjaya.

Jika anda termasuk dalam kumpulan ini, teruskan berusaha kerana ini antara sumbangan yang boleh anda beri kepada keluarga. Kajian di United Kingdom mendapati merokok boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun. Maknanya perokok akan mati 10 tahun lebih awal berbanding individu tidak merokok.

Berapa ramai rakyat Malaysia merokok? Jumlah perokok di kalangan orang dewasa di negara kita semakin meningkat iaitu daripada 21.5 peratus pada 1986 kepada 33 peratus pada 2006. Namun berita baiknya 70 peratus daripada perokok di negara kita ada keinginan dan pernah cuba berhenti.

Untuk berhenti merokok bukan mudah kerana ia memerlukan kesedaran, kesungguhan dan sokongan tidak berbelah bagi. Ramai menganggap kejayaan lebih tinggi jika berhenti merokok secara mengejut tetapi banyak bukti menunjukkan ramai kembali merokok selepas satu tempoh tertentu, kata Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Kaedah lain yang boleh dicuba ialah terapi penggantian nikotin sama ada tampalan, gula getah nikotin, ‘rokok nikotin’, semburan hidung atau pil oral bagi menangani ketagihan terhadap nikotin. Bila perlu menggunakan pengganti nikotin? Menurut Dr Aizai, terapi ini boleh diambil apabila seseorang bertekad berhenti merokok dan ia boleh diperoleh daripada doktor atau dibeli di farmasi.

Bagi yang ingin mencuba sendiri, Dr Aizai menyarankan anda menggunakan terapi penggantian nikotin selama 10 minggu. Lihat sama ada anda benar-benar berjaya membebaskan diri daripada belenggu rokok. Jika tidak berjaya dan masih tidak mampu melawan desakan kuat untuk merokok, tidak mengapa kerana ramai perokok di seluruh dunia menghadapi masalah sama.

“Jika gagal kali pertama, cuba selama 10 minggu lagi. Bagaimanapun, peratus kejayaan lebih tinggi jika usaha anda mendapat sokongan moral dan psikologikal daripada doktor atau pakar bertauliah yang mampu membantu anda berhenti,” katanya sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang akan disambut hari ini, 31 Mei 2009.

Pengarah Serantau Pfizer, Unit Perubatan Kardiovaskular dan Penjagaan Metabolik Primer, Dr Alaster Allum, berkata ketagihan nikotin perlu dianggap masalah perubatan kronik yang perlu diberi rawatan khusus, termasuk pemantauan dan penilaian berpanjangan hinggalah kesan nikotin ke atas badan hilang sepenuhnya.

Katanya, kajian mendapati 47 peratus daripada 714 perokok berumur 35 hingga 75 tahun yang ada sejarah penyakit kardiovaskular dan mengambil terapi penggantian nikotin oral seperti verenicline berjaya berhenti merokok selepas empat minggu rawatan.

Jika anda ada sejarah penyakit jantung atau mempunyai ahli keluarga yang diserang penyakit jantung, risiko anda mendapat serangan jantung sangat tinggi jika merokok.

Asap rokok meningkatkan keupayaan darah untuk bergumpal (boleh menyebabkan serangan jantung jika gumpalan darah ini tersekat pada saluran darah ke jantung atau strok jika ia menghalang laluan darah ke otak), meninggikan tekanan darah dan kadar degupan jantung.

Bahan kimia dalam asap rokok ini boleh bertindak balas dengan lain-lain faktor risiko, terutama tekanan darah tinggi dan dislipidemia yang akan meningkatkan peluang kehilangan keupayaan atau kematian. Kajian terbaru menunjukkan asap rokok mengurangkan keberkesanan ubat sakit jantung yang anda ambil.

Kesan rokok bukan hanya pada perokok, malah boleh memudaratkan orang tidak merokok tetapi menghidu asap rokok secara tidak sengaja (perokok sekunder). Perokok sekunder juiga berisiko 25 hingga 30 peratus mendapat penyakit koronari arteri dan kanser paru-paru. Malah perokok tertier (iaitu individu tidak merokok, tidak menghidu asap rokok tetapi tercium bau asap rokok) juga berisiko mendapat kanser dan penyakit jantung.

Justeru, ini masanya anda memikirkan semula tabiat buruk itu yang bukan hanya menghabiskan wang, tetapi turut ‘membakar’ kesihatan isteri dan anak secara perlahan-lahan. Antara manfaat yang anda peroleh dengan berhenti merokok ialah:


  • Dalam sejam — Sel badan mula memperbaiki diri sendiri, tekanan darah dan degupan jantung menurun

  • Lapan hingga 12 jam — Paras karbon monoksida dan nikotin menurun 50 peratus

  • 24 jam — Paras oksigen meningkat ke paras normal, risiko mendapat serangan jantung menurun

  • 48 jam — Deria rasa dan hidu semakin baik, kesan nikotin hilang daripada badan

  • Dua minggu — Peredaran darah bertambah baik dan fungsi paru-paru meningkat 30 peratus

  • Empat minggu — Ketagihan nikotin hilang sepenuhnya

  • Setahun — Risiko sakit jantung turun 50 peratus

  • Lima tahun — Risiko strok sama dengan orang tidak merokok

  • 10 tahun — Risiko kanser paru-paru kurang 30 hingga 50 peratus berbanding orang yang masih merokok

  • 15 tahun — Risiko sakit jantung sama dengan orang tidak merokok



    Kesan negatif rokok

    > Jika wanita merokok ketika hamil, bayi dilahirkan tidak cukup berat

    > Komplikasi kehamilan

    > Kesuburan terjejas (wanita dan lelaki)

    > Bayi berisiko alami sindrom mati mengejut (SIDS)

    > Mati pucuk (lelaki)

    > Keretakan tulang pinggul

    > Ketumpatan tulang rendah

    > Melambatkan penyembuhan luka (pembedahan, gigi)

    > Menjejaskan keberkesanan ubat

    > Merangsang katarak

    > Kulit cepat berkedut

    > Ulser peptik

    Manakala risiko kesihatan yang dihadapi perokok ialah:

    > 20 kali risiko kanser paru-paru

    > Dua kali risiko serangan jantung

    > Empat kali risiko kematian akibat penyakit jantung

    > Tiga kali risiko strok (angin ahmar)


  • Sunday, December 13, 2009

    Senaman Komputer

    Menghadap monitor komputer berjam-jam akan menyebabkan bahu dan tengkuk akan berasa letih dan lenguh. Lakukan senaman ringkas selama empat minit ini bagi setiap sejam atau apabila anda berasa letih apabila anda menggunakan komputer. Senaman ringkas ini akan menjadikan anda lebih selesa. Amalkannya selalu! Selamat mencuba...

    Wednesday, December 2, 2009

    Banjir Round 2

    Tahun ni dah dua kali laman rumah aku dinaiki air banjir. nasib..nasib..teringat juga aku masa kecik2 dulu main air bah...best...kali ni zaman anak2 ku pula main air bah....